KARANGAN KEPENTINGAN PERPADUAN DI MALAYSIA
1 Malaysia, slogan yang telah diperkasakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, membawa seribu erti kepada negara. Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan bertolak ansur agama selama ini pastinya dapat diperkukuhkan dengan laungan slogan 1 Malaysia. Sentiviti pihak kerajaan yang sentiasa berusaha menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat heterogen perlu diberi pujian. Bagaimanakah perpaduan kaum menatijahkan impak positif kepada negara? Tuntasnya, tepuk dada tanya selera.
Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat ialah dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Keharmonian sesebuah negara pastinya sentiasa disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. Hal ini pastinya mampu mewujudkan sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak kata pepatah, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, serta secara tidak lansung dapat mengikis sikap individualistik. Tamsilnya, organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan adat resam mampu duduk semeja berjuang mempertahankan keharmonian negara daripada dicabuli pihak tertentu. Hal ini pastinya, dapat mengeratkan perpaduan kaum di negara kita dn negara bertambah gah di persada dunia.
Nama negara juga akan disanjungi dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Malaysia pastinya akan menjadi “role model” kepada negara-negara pentas dunia, seterusnya akan dapat meningkatkan imej negara. Di negara lain, perpaduan berkemungkinan berada pada tahap yang amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu. Contohnya, pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang cinta akan watan, kita perlulah melaksanakan langkah-langkah yang proaktif bagi mengekalkan perpdauan antara kaum kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Selain itu, dapat memajukan ekonomi negara dan seterusnya ekonomi Malaysia pasti bertambah mantap apabila perpaduan kaum dapat dikekalkan. Sektor ekonomi Malaysia yang mantap dan masih mampu bertahan jika dibandingkan dengan negara serantau yang berhempas pulas menghadapi kepincangan ekonomi. Seterusnya, pelabur asing tidak bimbang untuk melabur di Malaysia kerana keadaan negara kita yang aman dan damai, sekali gus dapat menaja ekonomi supaya terus berkembang. Sebagai contohnnya, rakyat yang bersatu padu akan berusaha mengerah keringat bagi memastikan negara terus maju dan menggembeleng tenaga memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, rakyat Malaysia amat diharapkan agar asas perpaduan yang telah lama bertapak mampu diperkukuhkan dan diperkasakan lagi.
Di samping itu, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam masyarakat juga dapat menarik kedatangan pelancong ke Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, salah satu sumber ekonomi negara adalah sektor pelancongan yang dapat menjana ekonomi negara. Asas perpaduan yang kukuh dan kebudayaan yang unik di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identity sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung. Sebagai tamsilnya, pelancong amat tertarik dengan kepelbagaian kaum di negara kita iaitu terdiri daripada tiga kaum yang terbesar iaitu, Melayu, Cina dan India yang dapat menonjolkan imej negara. Hal ini seterusnya mampu menarik kedatangan pelancong dan dapat menjana ekonomi Malaysia secara tidak lansung.
Konklusiya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini. Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan maruah bangsa hingga ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Ingatlah, “Keranamu Malaysia”, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Oleh itu, semua pihak perlu menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.