30 Sep
Penulisan Isi

Karangan Fakta 

Apabila pelajar ingin memulakan penulisan karangan fakta, pelajar perlu mengetahui beberapa perkara yang mesti diambil kira dalam penulisan karangan ini.

1. Penulisan karangan fakta ini ditulis dalam bentuk format yang biasa

2. Karangan ini amat memerlukan seseorang pelajar itu mempunyai pengetahuan yang luas.

3. Oleh itu, pelajar perlulah banyak membaca vuku, majalah ilmiah, surat khabar dan sebagainya.

4. Seterusnya, pelajar perlulah memahami kehendak soalan yang hendak disampaikan.

5. Dalam karangan ini, pelajar perlulah memastikan sekurang-kurang 4 isi telah disenaraikan malah pelajar juga harus tahu untuk mengembangkan sesuatu isi tersebut.

6. Setiap isi yang dimasukkan perlulah berserta contoh yang sesuai dengan menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami bukan meleret-leret.

7. Pelajar juga perlulah memasukkan peristiwa, ungkapan atau kata-kata tokoh dunia bagi menguatkan kenyataan yang diterang dalam karangan tersebut.

8. Akhir sekali, pelajar perlulah menggunakan bahasa yang tepat.

Rangka karangan:

i. Pendahuluan

ii. Isi pertama

iii. Isi Kedua

iv. Isi Ketiga

v. Isi Keempat

vi. Penutup


Pendahuluan

Perenggan pendahulauan ini, pelajar perlulah memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi pelajar perlulah menyatakan hal yang berkait rapat dengan isi yang akan dibincangkan atau plajar boleh memberi perkenalan kepada tajuk karangan supaya pembaca akan lebih tertarik untuk membaca.

Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Selepas itu, ayat huraian yang kedua atau ketiga merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan.

Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi karangan.

Contoh:

(1) 1 Malaysia, slogan yang telah diperkasakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, membawa seribu erti kepada negara. (2) Pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan antara kaum dan amalan bertolak ansur agama selama ini pastinya dapat diperkukuhkan dengan laungan slogan 1 Malaysia. (3) Sentiviti pihak kerajaan yang sentiasa berusaha menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat heterogen perlu diberi pujian. (4) Bagaimanakah perpaduan kaum menatijahkan impak positif kepada negara? (5) Tuntasnya, tepuk dada tanya selera.

Huraian:

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (3) ialah ayat huraian. Ayat (4) merupakan ayat fokus yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, “kepentingan perpaduan kaum di Malaysia.” Ayat (5) penyedap rasa dalam karangan fakta iaitu meletakkan peribahasa.


Perenggan Isi 

Tema / Kata Kunci Isi

Pelajar menulis kata kunci / isi yang hendak ditulis.

Ayat Huraian 1

Ayat huraian isi (Mengapa – tentang isi)

Pelajar perlu meletakkan penanda wacana bagi memulakan ayat isi.

Ayat Huraian 2

Ayat huraian isi ( Bagaimana – isi tersebut berlaku atau terjadi).

Ayat Huraian 3

Ayat huraian isi (Kenapa – berkaitan dengan isi yang selanjutnya).

Ayat Contoh

Pelajar perlulah memasukkan fakta daripada petikan akhbar, tokoh atau dipetik oleh sesiapa.

Unsur KBAT

Pelajar perlu memasukkan peribahasa, kata-kata pemimpin atau intelektual.

Frasa Menarik

Pelajar perlu memasukkan peribahasa, kata-kata pemimpin atau intelektual.

Ayat Penegasan

Tegaskan semula isi yang dihuraikan. Contohnya menggunakan jelaslah, tegaslah, telah terang lagi bersuluh dan lain-lain bagi menegaskan isi tersebut.

 

 

Penulisan isi juga boleh menggunakan formula bagi memudah pelajar fahami:


AT (Ayat Topik)

  • Ayat topik terdiri daripada satu ayat yang ringkas, padat dan jelas.
  • Ayat topik juga ditulis dipermulaan ayat.
  • Ayat topik ini menjadi cetusan idea bagi mengembangkan idea.

AH (Ayat Huraian)

  • Ayat huraian ini terdiri daripada satu hingga lima ayat.
  • Boleh menggunakan 5W 1H (MASBBD) iaitu secara ringkasnya, apa, mengapa, siapa, bagaiamana, bila, di mana.

AC (Ayat Contoh)

  • Pelajar dikehendaki meletakkan sekurang-kurang satu contoh bagi memantapkan isi.
  • Pelajar perlu memastikan contoh yang diletakkan releven dan fakta.

AP (Ayat Penegasan)

  • Ayat penegasan ini merupakan ayat kesimpulan kecil bagi setiap isi.
  • Ayat penegasan ini menegaskan semula AT dengan menggunakan ayat yang berbeza tetapi masih kekal maksudnya dengan ayat AT. 


Contohnya:

(AT) Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat ialah dapat menwujudkan masyarakat yang harmoni. (AH1) Keharmonian sesebuah negara pastinya sentiasa disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. (AH2) Hal ini pastinya mampu mewujudkan sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak kata pepatah, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, serta secara tidak lansung dapat mengikis sikap individualistik. (AC) Tamsilnya, organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan adat resam mampu duduk semeja berjuang mempertahankan keharmonian negara daripada dicabuli pihak tertentu. (AP) Hal ini pastinya, dapat mengeratkan perpaduan kaum di negara kita dn negara bertambah gah di persada dunia.


Penutup

Perenggan ini berfungsi untuk merumuskan secara keseluruhan idea yang telah dibincangkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Dalam perenggan ini, pelajar tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah ditulis dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang boleh digunakan seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor atau juga boleh menggunakan formula yang mudah iaitu K.I.S.A.H.


(Kesimpulan)

  • Kesimpulan ini adalah menyimpulkan kembali idea-idea yang telah dibincangkan.
  • Terdiri daripada satu hingga dua ayat.
  • Tidak menyenaraikan isi yang telah ditulis dalam perenggan isi

(Idiom)

Meletakkan sebarang peribahasa atau kata-kata tokoh yang releven. Boleh diletakkan di mana-mana ayat di dalam perenggan penutup ini.

(Seruan)

Meletakkan ayat ini untuk menyeru pembaca untuk lebih fokus ke dalam karangan yang ditulis.

(Amaran)

Ayat amaran ini menegaskan apabila sesuatu perkara itu tidak dilakukan contohnya menggunakan jika  untuk menunjukkan amaran tersebut. (Jika perlu).

(Harapan)

  • Pelajar boleh menutup kesimpulan dengan menyatakan harapan yang dikira munasabah.
  • Menggunakan kata hubung agar / supaya / demi untuk menyambung ayat tersebut.


Contohnya:

(K) Konklusiya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini. (S) Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan maruah bangsa hingga ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Ingatlah, “Keranamu Malaysia”, (I) di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. (H) Oleh itu, semua pihak perlu menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING